Wednesday 6 June 2012

Fleksibeliti Dan Kedinamikan Dalam Perundangan Islam: Al-Quran Dan Al-Sunnah: Part 1

Sebelum kita pergi lebih jauh dalam membahaskan tajuk utama, adalah lebih baik kita menelusuri makna dan definisi fiqh. Fiqh daripada segi bahasa bermaksud “kefahaman”. Manakala daripada segi istilah pula bermaksud ilmu tentang hukum hakam syara’yang amali dan praktikal yang diambil dari dalil-dalilnya yang tafsili iaitu dalil yang terperinci. Ini bermaksud mengetahui dan memahami hukum-hukum syara yang berhubung dengan segenap perkara tidak kira dari segi ibadat, muamalat dan lain-lain. Pada kebiasaannya ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan adalah berbentuk umum. Maka ia perlu diperincikan dengan tafsiran yang mendalam untuk memahami ayat-ayat tersebut. Apabila sesuatu tafsiran dibuat oleh golongan-golongan ilmuan dalam bidang fiqh mengenai sesuatu hukum cabang dari ayat-ayat yang umum, maka perkara tersebut akan dinamakan fiqh.

Fiqh adalah tafsiran daripada undang-undang yang umum. Oleh itu, sesuatu yang dihasilkan oleh ilmuan fiqh merupakan peraturan lanjutan atau pecahan daripada undang-undang islam yang umum. Hukum islam yang terdapat dalam Al-Quran tidak akan berubah sedikitpun sehingga hari pembalasan dan ianya tidak boleh dipinda oleh manusia. Pada hari ini, hukum fiqh sentiasa berkembang dan kadang-kadang ia berubah dari semasa ke semasa dan dari suatu keadaan ke keadaan yang lain. Walhal, sebahagian hukum yang terkandung dalam Al-Quran adalah hukum yang umum. Oleh itu ia memerlukan tafsiran daripada ahli fiqh untuk diselaraskan dengan keadaan semasa selagi ia tidak bertentangan dengan nas Al-Quran dan Al-Sunnah.
            
           
           Sumber Pertama: Al-Quran
Sebelum kita membahaskan secara mendalam tentang Al-Quran, adalah lebih baik kita melihat dahulu definisi Al-Quran agar kita mengetahui maksud sebenar Al-Quran. Menurut jumhur ulama, ulama mendefinisikan Al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang mempunyai mukjizat, membacanya adalah sebagai suatu ibadat yang termaktub dalam mushaf-mushaf dan dipindahkannya kepada kita secara mutawatir dimulai dengan surah Al-Fatihah dan disudahi dengan surah Al-Nas.

Sesuatu yang ingin dijadikan sebagai panduan harus mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Begitu juga dengan Al-Quran. Terdapat pelbagai keistimewaan Al-Quran yang tidak boleh ditandingi oleh kitab-kitab yang lain bahkan kitab-kitab suci yang turun sebelum Al-Quran. Antara ciri-ciri keistimewaan Al-Quran adalah seperti berikut.

Pertama: lafaz Al-Quran dan maknanya adalah datang daripada Allah swt. Tugas Rasulullah adalah sekadar menyampaikan kepada manusia sebagai peringat dan panduan. Lafaz Al-Quran adalah dalam bahasa arab. Allah Berfirman:

”Sesungguhnya Kami menjadikan Al Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memahami(nya).”                                                                                                             (Surah Al-Zukhruf 43: 3)
Imam Syafie pernah berkata seluruh kitab Allah diturunkan dalam bahasa Arab. Oleh itu hadith-hadith Nabi saw tidak dianggap sebagai dari Al-Quran walaupun maknanya datang dari Allah tetapi lafaznya bukan datang dari Allah. Begitu juga terjemahan Al-Quran (dalam bahasa lain) bukanlah Al-Quran kerana ianya bukan berbahasa arab.

Kedua:  dipindahkan kepada kita secara tawatur. Al-Quran dipindah oleh satu kaum kepada kaum yang lain yang tidak mungkin mereka bersepakat untuk melakukan pembohongan kerana ramainya bilangan mereka itu dan berlainan tempat tinggal. Malah perpindahan secara mutawatir ini terus bersambung kepada Rasulullah saw.

Ketiga:  terjamin dari segala ancaman. Al-Quran merupakan mukjizat yang terbesar. Maka segala isi kandungan dijamin oleh Allah dari segala penambahan, pemalsuan dan penyelewengan oleh orang kafir. Firman Allah:

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya”                                                                                      ( Surah Al Hijr 15:9)

 Maka, adalah sesuatu yang agung kerana Al-Quran diturunkan pada zaman Rasulullah, namun kandungan tetap dipelihara oleh Allah swt sehingga sekarang. Huruf, makna, dan segala isi adalah sama di zaman Rasulullah dan juga zaman sekarang dan akan kekal hingga Yaumul Qiyamah. Manusia  juga tidak akan mampu untuk mendatangkan dan mencipta ayat seperti ayat Al-Quran walaupun hanya sepotong ayat. Inilah yang menjadikan Al-Quran mukjizat. Pada zaman Rasulullah saw, Al-Quran telah mencabar orang-orang kafir untuk mencipta ayat seperti ayat Quran namum ternyata mereka tidak mampu. Ini diungkapkan oleh Allah swt dalam Al-Quran:

“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surat (saja) yang semisal Al Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. Maka jika kamu tidak dapat membuat(nya) - dan pasti kamu tidak akan dapat membuat(nya), peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir”                                                                                                         (Surah Al-Baqarah 2:23-24)

Firman Allah lagi:
Katakanlah: "Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebagian mereka menjadi pembantu bagi sebagian yang lain."                                                                                                                     ( Surah Al-Isra 17:88)

Inilah bukti bahawa Al-Quran tetap dipelihara oleh Allah swt. Pada waktu itu ramai di kalangan orang kafir quraisy terdiri dari ahli sasterawan namun mereka masih tidak mampu menandingi dan mengakui kehebatan Al-Quran itu sendiri.  Oleh itu tetaplah Al-Quran menjadi hujjah ke atas semua perkara dan ia merupakan sumber yang qat’ie lagi jelas dan wajiblah kita meyakininya.

Sungguhpun Al-Quran merupakan asas bagi sesuatu hukum, namun ianya mengandungi hukum-hukum yang diterangkan secara Kulliy Ijmali iaitu secara umum dan ringkas. Jenis- jenis hukum yang diterangkan dalam Al-Quran terdapat 3 jenis iaitu hukum I’tiqad yang membincangkan aspek aqidah, hukum-hukum akhlak yang berkaitan dengan aspek jiwa dan yang terakhir ialah hukum amali yang berkaitan dengan  perkataan dan tanggungan mukallaf seperti solat, zakat dan lain-lain. Namun kebanyakan hukum diterangkan dalam sunnah Nabawiyyah kemudian kepada ulama.  Kita diwajibkan untuk menataati Allah dan rasulNya. Tetapi bukan setakat itu, kita juga diwajibkan menataati para ulama bagi memahami hukum islam, keperluan ijtihad dan juga qiyas selagi mereka tidak bertentangan dengan Allah dan rasulNya. Hikmah Allah menerangkan hukum secara umum agar ia dapat merangkumi semua masalah yang berlaku sepanjang zaman tanpa jumud terhadap sesuatu masa sahaja. Inilah kehebatan Allah dalam menguruskan kehidupan para hambaNya.

Terdapat 3 cara Al-Quran menjelaskan hukum-hukumnya.
Pertama: secara Kulli iaitu dengan menyebut beberapa kaedah asas dan prinsip-prinsip yang umum yang menjadi asas kepada cabang-cabang hukum. Contohnya dalam Al-Quran menerangkan bahawa tiada kesusahan dan kesulitan dalam hal agama. Maka ini menjadi asas kepada golongan musafir dalam menunaikan kewajipan bersolat. Mereka dibolehkan menqasar dan menjamak solat dengan syarat-syarat tertentu. Firman Allah:

“Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan”                                                                                                       (Surah Al-Hajj 22:88)

Kedua: secara Ijmali iaitu disebutkan beberapa hukum dengan ringkas yang memerlukan penjelasan dan perincian. Antara contoh yang lazim kita ketahui adalah perintah bersolat. Dalam Al-Quran Allah hanya menerangkan secara umum. Dan Sunnah Nabawiyyah yang menjelaskannya. Firman Allah:
“Dan dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat”                                   (Surah Al-Baqarah 2:110)

Dalam ayat ini hanya menerangkan perintah bersolat namun ianya tidak menerangkan tatacara bersolat. Dalam hal ini sunnah nabawiyyah yang menerangkan. Sabda Rasulullah saw:

Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku bersolat”  (Riwayat Al-Bukhari)

Ketiga: secara tafsili iaitu disebutkan hukum-hukum itu secara terperinci seperti harta pusaka, munakahat dan sebahagian hukum yang lain. Contohnya dalam kes faraid Al-Quran menerangkan secara terperinci hak anak lelaki dan anak perempuan. Firman Allah swt:

"Allah mensyari'atkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. Yaitu : bahagian seorang anak lelaki sama dengan bagahian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separuh harta. Dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembagian-pembagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana"                                                                                                                                     (Surah An-Nissa 4:11)

Penjelasan hukum-hukum syara dengan terperinci oleh Al-Quran kebanyakan berkaitan dengan aspek aqidah dan akhlak. Sementara hukum amali kebanyakan diterangkan secara kulliy dan ijmali kecuali hanya sebahagian. Allah memberi keistimewaan kepada Rasulullah dalam menerangkan hukum-hukum ijmali sepertimana firman Allah:

"Dan Kami turunkan kepadamu Al Quran, agar kamu menerangkan pada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan"      (Surah Al-Nahl 16:44)

Hikmah jika semua hukum-hukum diterangkan secara terperinci akan menyebabkan terkeluar dari tujuan sebenar Al-Quran diturunkan iaitu al-Hidayah dan al-Irsyad. Sebaliknya sebahagian hukum dalam bentuk yang umum menyebabkan ia fleksibel dan sesuai dengan syariat islam yang umum dan kekal. Maka ia dapatlah dipecahkan hukum tersebut mengikut prinsip-prinsip umum dan ia dilaksanakan ke atas masalah juziyyah yang sentiasa berubah mengikut zaman.
    
         
            Sumber Kedua: Al-Sunnah

Takrif Al-Sunnah

Al-Sunnah dari segi bahasa ialah Al-Tariqah al-Mu’tadah yang ertinya cara atau peraturan tertentu sesuatu amalan yang dilakukan berulang kali. Al –Tariqah al-Mu’tadah atau cara yang biasa dilakukan itu adakalanya dipuji atau dikeji. Sabda Rasulullah saw:

Barangsiapa mencipta sesuatu cara atau peraturan yang baik maka dia akan memperolehi pahalanya dan pahala orang lain yang mengamalkannya sehingga hari kiamat dan sesiapa yang mencipta sesuatu cara yang jahat maka dia mendapat dosanya dan dosa mereka yang mengamalkannya hingga hari kiamat” (Riwayat Muslim)

Menurut istilah yang dimaksudkan dengan Al-Sunnah ialah sesuatu yang terbit dari Baginda nabi Muhammad saw selain dari Al-Quran samada perkataan, perbuatan dan perakuan.
Al-Sunnah adalah sumber perundangan yang utama selepas Al-Quran. Ini dapat dilihat perintah Allah dalam Al-Quran dalam kita menataati Allah dan RasulNya.

Firman Allah:
“Barangsiapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka”                                                                                                        (Surah An-Nisa 4:80)

Maka dalam rangka kita menataati Allah, adalah wajib kita menataati Rasul. Apa yang didatangkan oleh rasul kepada kita, hendaklah wajib kita percaya dan yakini tanpa sebarang keraguan. Jika kita terjebak dalam pertikaian sesuatu masalah, adalah wajib kita kembali kepada Allah dan rasulNya agar kita tidak terpesong dari landasan syariat islam. Ini adalah kerana Al-Quran telah menjelaskan bahawa Rasulullah tidak akan memperkatakan sesuatu yang bukan berlandaskan islam itu sendiri. Maka segala masalah yang diperselisihkan mestilah dikembalikan kepada Allah dan rasul dan wajib menerima segala keputusan apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan rasulNya. Jika seseorang muslim menyalahi perintah Allah dan rasulNya, maka akan ditimpa azab yang sangat dahsyat.

Terdapat 3 bahagian sunnah. Yang pertama ialah sunnah Qawliyyah iaitu kata-kata Rasulullah saw dalam pelbagai persoalan. Yang kedua ialah sunnah Fi’liyyah iaitu perbuatan Rasulullah saw seperti solat, haji dan lain-lain. Yang ketiga ialah sunnah Taqririyah iaitu sesuatu yang diperakui oleh Rasulullah dengan mendiamkan diri tanpa membantah atau bersetuju dan melahirkan rasa senang dengan perbuatan para sahabat.

Bukan semua yang terbit dari Rasulullah itu dianggap sebagai Tasyri’ (perundangan yang diikuti) kerana ada diantaranya tidak menjadi sunnah. Sunnah ini terbahagi kepada 2 bahagian.
Yang pertama: Sunnah Tasyri’ iaitu apa yang lahir dari Rasulullah atas sifatnya sebagai seorang Rasul yang menyampaikan risalah. Maka ini tiada khilaf ia sebagai tasyri’
Yang kedua: Sunnah bukan tasyri’ iaitu sesuatu yang lahir dari Rasulullah bukan atasnya sifat sebagai penyampai risalah tetapi atas sifat sebagai insan biasa dan ini tidak menjadi syariat kepada umatnya.
Al-Quran dan Al-Sunnah merupakan sumber yang disepakati. Ianya saling melengkapi antara satu sama lain. Antara peranan Al-Sunnah dalam melengakapkan hukum Al-Quran ialah:
 Yang Pertama: Al-Sunnah mengukuhkan hukum-hukum Al-Quran. Contohnya dalam masalah mengambil harta seseorang muslim. Allah berfirman:
  
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu ; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.”                                                                                                ( Surah An-Nisa 4:29)

Hadith yang mengukuhkannya:
“Tidak halal (mengambil) harta seseorang muslim melainkan dengan kerelaan hatinya                                                                                                                                                            (Riwayat al Daruqutni)
Yang Kedua: Al-Sunnah menjelaskan hukum yang berbentuk umum. Ini dapat dilihat dalam perintah bersolat seperti yang diterangkan diatas.
Yang ketiga: Al-Sunnah membataskan hukum Al-Quran yang bersifat mutlak. Contohnya dalam masalah bangkai. Allah berfirman:

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai…”                                  ( Surah Al-Maidah 5:3)

Dalam ayat diatas, hukum memakan bangkai adalah haram. Namun hadith membataskan terdapat bangkai yang harus dimakan iaitu bangkai makanan laut dan belalang. Sabda Rasulullah saw:

“Air laut itu bersih, bangkainya halal”  (Riwayat At-Tarmizi)

Yang keempat: hadith membentuk hukum-hukum yang baru yang tidak disebut dalam Al-Quran. Hadith boleh memperundangkan hukum yang baru kerana sabda Rasulullah saw:
“Ketahuilah dan sesungguhnya aku telah diberikan Al-Quran dan seumpamanya bersama-sama         ( Sunnah sama seperti Al-Quran  wajib diikuti hukum hakamnya.)”
(Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Antara contohnya ialah dalam kes pengharaman memakai binatang yang mempunyai taring, pengharaman memakan keldai dan pelbagai masalah lagi. Oleh itu jelaslah bahawa Al-Sunnah adalah sumber yang wajib dijadikan panduan dalam penetapan hukum kerana ianya datang dari Rasulullah saw dan secara tidak langsung ianya datang dari Allah swt.